“Nak marah tapi saya tahu di mana tahap kita!” Itu reaksi jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, yang kecewa dengan beberapa kesilapan kecil yang dilakukan anak buahnya sehingga Malaysia diaibkan menerusi kekalahan besar 9-0 kepada Belgium.

Menerusi perbezaan ranking, Dhaarma melihat Belgium sebagai musuh paling hampir yang mungkin mampu dijinakkan dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Brussels.

Namun, setibanya di Brussels,segala-galanya tampak sukar dan Belgium bukan sekadar melengkapi penyertaan selaku pasukan tuan rumah tetapi tidak keterlaluan andai melabelkan barisan kendalian Niels Thijssen itu sebagai pasukan paling bersedia.

Dengan tekanan tinggi untuk meraih kemenangan ketika bertemu Malaysia, Belgium menampilkan persembahan mantap serta berjaya menggunakan setiap peluang ketika Malaysia melakukan kesilapan.

"Kami gagal bermain dengan baik dan kerap melakukan kesilapan kecil sehingga menghadiahkan empat pukulan strok penalti," kata Dhaarma.

Dhaarma yang terjun ke dunia kejurulatihan sejak 18 tahun lalu mengakui kekalahan semalam merupakan kekalahan terbesar yang pernah dihadapinya sejak bergelar jurulatih.

"Saya menyedari bahawa peluang kami untuk mencipta kemenangan adalah tipis tetapi sukar buat saya untuk menerima keputusan tersebut. Ia merupakan kekalahan terbesar sepanjang saya bergelar jurulatih."