Ia sesuatu yang sudah dijangka, kata Prinsipal Pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali, yang seakan-akan sudah mendapat gambaran lebih awal mengenai persaraan pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi.

Pelumba dengan gelaran SuperKIP itu mengumumkan persaraannya daripada sukan permotoran semalam walaupun hanya berusia 22 tahun.

Anak jati Perak itu pernah menggegarkan dunia dengan menjuarai GP Argentina dan Jerman dalam kategori Moto3 pada 2016, sekali gus menjadi pelumba pertama menyanyikan lagu Negaraku di atas podium MotoGP sejak 67 tahun kejohanan itu dianjurkan.

Justeru, keputusannya untuk bersara selepas lima tahun bersaing dalam Kejuaraan Dunia mengejutkan ramai pihak tetapi Razlan, dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, berkata bahawa perkara itu merupakan sesuatu yang sudah dijangka.

"Sebenarnya tidak terlalu terkejut kerana apabila saya berbincang dengan Khairul Idham pada pusingan terakhir di Portugal, caranya memang nampak seperti sudah kecewa dan mungkin motivasinya sudah tiada lagi dalam perlumbaan, dan ada ura-ura juga dia mahu pulang ke Malaysia untuk melakukan perkara lain.

"Kami tidak jangka dia akan menamatkan musim ini tanpa sebarang mata, jadi susah untuk kami menentukan dalam menyambung kontrak KIP.

"Itu daripada segi keseluruhan mengenai keputusan yang kami buat. Sebab satu mata pun tidak dapat, jadi kami tidak dapat melihat apa-apa daripada segi peningkatan.

"Kami percaya bahawa kami sudah memberikan peluang buat KIP," katanya.

Razlan tidak menolak untuk membantu Khairul Idham seandainya pelumba muda itu mahu keluar daripada persaraannya tetapi menegaskan prestasi semasa tetap akan menjadi ukuran.

"Jika Khairul Idham Pawi bersedia untuk kembali berlumba, kami perlu melihat dahulu.

"Saya tidak mahu menghubunginya selepas dia membuat keputusan seperti ini.

"Tetapi jika dia menghubungi saya meminta tolong dan ada niat untuk berlumba, saya akan mencuba sedaya-upaya untuk melihat apa yang boleh saya bantu," tambahnya.