Pengerusi penganjur Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Borneo atau lebih dikenali sebagai Borneo Sevens, Vela Tan, menjangkakan edisi kali ini menjanjikan persaingan menarik di antara semua pasukan yang mengambil bahagian.

Kejohanan tahunan yang akan bermula esok hingga Ahad di padang Kelab Ragbi Eagles (ERC) di Bandar Utama, Batu 6, Jalan Utara, Sandakan itu disertai 22 pasukan dari sembilan negara berasingan, termasuk Malaysia.

"Semua persiapan berjalan lancar, kami kini bersedia untuk menyambut kedatangan semua pasukan yang bertanding, terutama dari luar negara, yang akan bersaing dalam kejohanan bertaraf antarabangsa ini.

"Walaupun jemputan untuk menyertai kejohanan itu hanya dihantar Januari lalu, kami masih menerima respons yang baik daripada pasukan-pasukan kuat luar negara," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejohanan kali ini, juara bertahan pasukan lelaki, Borneo Eagles, akan bersaing dalam Kumpulan A bersama-sama dengan pasukan ICONZ dari Australia dan juga Thailand.

Kumpulan B pula menyaksikan persaingan di antara Tribe 7s, Belgium Barbarian, Malaysia 7s dan Kelab Ragbi Tainan Chang Jung (TCJRT) dari Taiwan.

Sementara itu, Hong Kong Dragons yang dibarisi pemain kebangsaan Hong Kong bersaing dalam Kumpulan C bersama-sama Mellowpuff Barbarian, Pasukan Sukma Sabah dan Tawau.

Pasukan tempatan, Sabah Eagles pula bakal diberi saingan oleh Sri Lanka dan Kelab Ragbi Islander dari Labuan dalam Kumpulan D.

Dalam perkembangan sama, kategori wanita pula menyaksikan sebanyak lapan pasukan bertanding dengan ia dibahagi kepada dua kumpulan.

Sri Lanka, Hong Kong Dragon, Pilihan Eagles RFC dan pasukan Sukma Sabah bakal bersaing dalam Kumpulan A manakala Thailand, pilihan Singapura, Sabah Eagles dan Kelab Ragbi Wanita Islander akan bersaing dalam Kumpulan B.

Kejohanan akan bermula esok dengan 10 perlawanan bakal berlangsung pada hari pertama bermula jam 4 petang.