eSukan telah menggegarkan dunia. Dengan permainan League of Legends mempunyai populasi lebih daripada 100 juta pemain di seluruh dunia, kehadiran eSukan sangatlah mapan. Dengan jumlah hadiah kejohanan antarabangsa yang boleh mencecah sehingga berjuta-juta ringgit, ini adalah sesuatu yang menakjubkan, terutamanya kepada orang ramai yang kurang mengenali arena eSukan.

Dalam masa beberapa tahun ini, Malaysia telah memperlihatkan perkembangan eSukan yang pesat. Dengan acara seperti The Legends Circuit, Malaysia Cyber Games, Selangor Cyber Games dan ESL Genting yang dianjurkan, peminat eSukan dapat mengisi kalendar mereka untuk menghadiri acara eSukan yang hebat setiap tahun.

Walaupun acara eSukan yang besar selalu menarik perhatian, tidak dilupa juga acara-acara kecil seperti Weekend Cup dan Clash of States yang baru sahaja dianjurkan untuk membantu memperkembangkan lagi eSukan dalam negara. Pemain baru dapat menyertai acara-acara ini setiap minggu.

Malah dalam peringkat kolej dan universiti, Garena telah memulakan inisiatif nasional yang dipanggil Garena Student Alliance (GSA), di mana kelab eSukan ditubuhkan di universiti-universiti tempatan seperti Sunway University. 15 universiti sudah pun mendaftar kelab eSukan mereka sendiri.

Dengan inisiatif dan acara seperti ini yang dianjurkan di Malaysia, arena eSukan di negara kita akan terus berkembang. Kita berasa bangga dengan pasukan badminton negara kita. Satu hari nanti kita akan berasa bangga dengan pasukan eSukan kita sendiri.