Sebilangan besar atlet daripada sukan lain turut kecewa dengan isu perkauman yang ditimbulkan oleh netizen terhadap pemain bola sepak tempatan dan ia tidak seharusnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.



Isu perkauman ini mula tercetus apabila pengendali Selangor, B. Sathianathan akhirnya membuka mulut mengenai senario mengkritik kaum yang ditujukan terhadap pilihannya dalam kesebelasan utama Selangor.

Perkara ini seharusnya tidak berlaku di Malaysia dan beberapa atlet negara turut menyuarakan perkara yang sama dan mahukan isu perkauman ini dihapuskan.

"Isu perkauman tidak seharusnya wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, saya berharap mereka yang mengeluarkan kata-kata sebegini harus menyedari bahawa tindakan mereka adalah salah," kata gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi.

"Sukan tidak seharusnya dipisahkan dengan masalah perkauman sebaliknya menjadi medium untuk bersatu," kata atlet wushu negara, Tan Cheong Min.