Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengadakan perhimpunan agung pada 5 Mei ini bagi memilih penyandang jawatan baharu bagi penggal 2018-2021.

Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, bagaimanapun berkata tarikh itu akan ditukar kepada 12 Mei sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan pilihan raya umum ke-14 diadakan pada awal Mei.

"Perkara utama yang kami persetujui ialah perhimpunan agung kami akan diadakan pada 5 Mei dan sekiranya pilihan raya umum ke-14 diadakan pada tarikh itu, maka kami akan mengadakannya pada 12 Mei bagi memastikan semua persatuan gabungan kami dapat mengundi bagi memilih penyandang jawatan baharu," kata beliau.

Tunku Imran berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-185 di Wisma OCM di sini hari ini.

Menurut beliau, MOM telah memilih tiga individu berkaliber untuk menganggotai panel bebas dan sebagai pegawai pengurus pemilihan untuk mengendalikan pemilihan itu.

Mereka ialah angota exco Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan B. Jadadish Chandra serta bekas pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Persatuan Bolasepak Malaysia Brig Jen Datuk Norhuda Ahmad.

Sementara itu, timbalan presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang turut hadir pada mesyuarat hari ini, mengesahkan beliau akan bertanding jawatan presiden MOM.

Bagaimanapun, kata Mohamad Norza, pada masa ini beliau mahu memberi lebih tumpuan kepada Sukan Komanwel 2018 di Australia bulan depan.

Mohamad Norza, yang juga presiden BAM, berkata beliau bersikap terbuka sekiranya terdapat individu yang berminat untuk mencabar beliau bagi jawatan presiden MOM.

“Saya akan bertanding sebagai Presiden MOM pada kali ini dan hanya mengetahui pesaing yang bertanding jawatan tersebut selepas proses penamaan calon dilakukan.

"Oleh itu, saya akan menjelaskan kepada ahli gabungan persatuan terlebih dahulu mengenai status saya ketika di sana," jelas Mohamad Norza.

Tunku Imran mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden MOM pada pemilihan kali ini setelah menyandang jawatan itu selama 20 tahun.

-- BERNAMA