Perak meneruskan skrip kejayaan apabila menjuarai siri ketiga Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan apabila menewaskan Johor 19-17 untuk muncul juara keseluruhan kejohanan di Ipoh, semalam.

Menurut ketua jurulatih, Mohd Nazeer Nasherah, kejayaan Perak lebih manis kerana piala dirangkul di laman sendiri.

"Perak melakukan hatrik. Sangat berpuas hati dengan persembahan mereka (pemain). Prestasi yang dipamerkan amat menarik walaupun seketika ketinggalan.

"Try pada minit akhir perlawanan menakjubkan. Perak memang berhak untuk menang ke atas Johor.

"Sudah pasti kami akan mempertahankan kemenangan ini pada tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, memuji kesungguhan yang dipamerkan pemain muda negara dan akan menambah baik kejohanan tersebut pada masa depan.

“Saya akui kejohanan seperti ini mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dan saya percaya kami telah berjaya melahirkan bakat-bakat baru," ujarnya.