Kapten skuad perahu naga wanita negara, Lesley Lim Ai Li, akan membalas kepercayaan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang meluluskan penyertaan pasukan kebangsaan ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Skuad perahu naga perlu membalas kepercayaan MOM selepas berjaya mengatasi isu penyertaan dan apa yang penting ialah menghadiahkan pingat sulung tidak mengira warna kerana Malaysia gagal melakukannya dalam tiga temasya yang mempertandingkan sukan itu.

"Kami sangat bersyukur dengan keputusan MOM yang mempertimbangkan rayuan kami. Sudah tentu kami gembira tetapi berharap sebarang isu dalam persatuan dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

"Perancangan kami untuk mengambil jurulatih dari luar negara masih belum dilaksanakan dan kami cuba lakukan sesuatu. Kami sasarkan podium walaupun tempoh tiga bulan memang suntuk," tambah atlet kayak negara, Adam Aris.

Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) akan menghantar 32 atlet ke Filipina dan perkembangan itu sekurang-kurangnya meredakan ketegangan dalam kalangan pegawai badan itu yang sebelum ini mempertikaikan senarai nama skuad negara.

"Biar MOM buat keputusan dan saya ikut apa yang mereka tentukan. Jadi, kami setuju untuk menghantar atlet," kata Presiden MASCA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

"Senarai atlet kayak akan ditapis semula, termasuk pegawai yang terlibat. Untuk kayak, mungkin akan diadakan pemilihan terakhir sebelum 30 September depan," tambah Timbalan Presiden MASCA, Datuk Michael Wong.