Penubuhan akademi serantau yang julung kali diadakan di Malaysia mampu menjadi penilaian terbaik untuk taekwondo mengisi slot sukan teras.

Usahasama membabitkan Taekwondo Malaysia (TM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mampu mengubah wajah TM sejak dilucutkan status dari sukan teras, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menegaskan hasrat ini secara tidak langsung menjadi penilaian terbaik untuk mengembalikan semula sukan ini sebagai sukan teras.

"Itu membantu, ia bukanlah merupakan syarat utama.

"Semasa kami membuat keputusan, ia lebih kepada masalah dalaman sukan. Itu sebabnya (pengguguran) terhadap taekwondo," kata Khairy.

Beberapa cadangan lokasi sudah pun dalam perbincangan, namun tiada pengumuman dibuat setakat ini.

Penubuhan akademi serantau ini telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, hari ini selain dana sebanyak RM1 juta untuk TM.

"Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF) memberi tawaran ini kepada negara yang memohon untuk mengadakan akademi dan kini, kami akan menubuhkan sebuah akademi pada hujung bulan ini," kata Presiden TM, Tan Sri S.A. Vigneswaran.