Selepas dua tahun, bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Adam Norrodin, kembali menghangatkan pusingan kedua Kejohanan Perlumbaan MSBK hujung minggu ini.

Lebih menarik, Adam bakal menjadi rakan sepasukan dengan adik, Ibrahim Norrodin, dalam kelas 600cc bersama pasukan SIC Racing.

"Saya mahu menyesuaikan diri sebelum menyertai CEV (Kejuaraan Motosikal Eropah) sebab sebelum ini saya perlu berlatih berseorangan.

"Situasinya berbeza, oleh itu kancah ini menjadi medan persiapan buat saya," katanya.

Begitupun, dia tidak akan mengambil ringan sebarang cabaran dalam perlumbaan kelak kerana adalah penting untuknya mendapat rentak sebelum beralih semula ke kancah CEV di Litar Ricardo Tormo, pertengahan bulan depan.

"Saya tidak meletakkan matlamat yang jelas dalam MSBK walaupun semua pelumba mahu menang. Tapi perlumbaan kali ini boleh menjadi kesempatan untuk saya membuat persiapan daripada segi mental dan fizikal.

"Saya ada dua lagi perlumbaan di Valencia tapi untuk bergelar juara agak susah.

"Apapun saya masih berpeluang untuk meraih kelompok tiga terbaik."