Atlet terjun negara, Wendy Ng Yan Yee, sedia merampas kembali kedudukannya dalam skuad kebangsaan setelah selesai mejalani hukuman penggantungan, hari ini.

Yan Yee kembali memulakan latihan bersama skuad negara selepas digantung lapan bulan akibat menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine ketika menyertai Sukan SEA tahun lalu.

Menurutnya, dalam tempoh itu, ramai penerjun muda sudah mula menunjukkan potensi, antaranya Kimberly Bong dan Jasmine Lai.

Sehubungan itu, katanya, slot ke Sukan Asia Indonesia pastinya bukan mudah untuk diperoleh, apatah lagi hanya mempunyai tempoh tiga bulan bagi mempersiapkan diri, lebih singkat berbanding rakan sepasukannya.

"Saya hanya menjalani latihan di gimnasium kerana masih belum dibenarkan untuk melakukan sebarang terjunan.

"Saya amat menghargai apabila ASUM (Kesatuan Renang Amatur Malaysia) menghantar saya semula untuk menyertai kem kebangsaan," kata Yan Yee.

Yan Yee berkata kejohanan pertama yang bakal disertainya adalah Piala Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) di Wuhan pada 5 Jun depan.

Ketika ini, dia berlatih di bawah penolong jurulatih, Li Teng, kerana ketua jurulatihnya, Zhang Yu Kun, berada di Montreal, Kanada bersama barisan penerjun elit yang menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia.

"Saya tidak pasti kerana masih belum menemui ketua jurulatih tetapi sudah memiliki program yang dirancang.

"Saya rasa kami akan melalui beberapa proses pemilihan sebelum mengetahui siapa yang akan ke Sukan Asia," tambahnya.

Selain digantung lapan bulan, pingat emas yang dimenangi Yan Yee dalam Sukan SEA turut ditarik balik.