Penggantungan yang dikenakan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) terhadap Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bakal memberi kesan panjang kepada skuad kebangsaan.

Hukuman setahun tanpa kejohanan kompetitif dijangka turut menjejaskan persiapan atlet negara untuk menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022.

IWF menjatuhkan hukuman penggantungan setahun terhadap PABM yang menyaksikan atlet negara dilarang beraksi dalam mana-mana kejohanan sehingga 1 April 2021.

Malaysia bukan sahaja dilarang beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, malah untuk atlet muda seperti Muhammad Erry Hidayat untuk berpeluang beraksi buat julung kali dalam edisi Birmingham 2022 mungkin terjejas kerana bakal terlepas beberapa kejohanan kelayakan.

Antaranya, kejohanan kelayakan yang sepatutnya berlangsung di Nauru bulan ini, namun telah pun ditunda oleh IWF untuk satu tarikh yang baru yang akan diumumkan kelak gara-gara penyebaran wabak novel koronavirus (Covid-19).




"Atlet angkat berat Malaysia terkilan sebab isu ini telah lama berlaku tetapi kami yang mendapat tempiasnya.

"Apa pun, kami akan bersungguh-sungguh untuk kejohanan akan datang sebaik penggantungan ini berakhir," katanya kepada wakil Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Erry yang turut akan mewakili Wilayah Persekutuan bagi saingan Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan juga melahirkan kegusaran terhadap masa depan sukan itu di peringkat tempatan seandainya angkat berat terus dipalit dengan isu doping.

"Atlet haruslah jauhi ubat-ubatan ataupun makanan tambahan yang dilarang.

"Kaji dulu makanan sampingan yang diambil supaya selamat demi menjaga kesihatan dan jangan ambil jalan pintas untuk berjaya."