Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, kembali melaporkan diri dalam kem kebangsaan hari ini setelah tamat menjalani tempoh penggantungan empat bulan yang dikenakan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Talib dan pembantunya, Rashidi Nordin, sebelum ini digantung kerana gagal melunaskan denda lebih RM28,000 gara-gara enggan meneruskan permainan dalam aksi regu berpasukan dalam saingan Piala Raja Thai 2016 bersama tiga lagi anak didiknya.

Kelima-lima mereka digantung empat bulan setelah ISTAF gagal mendapat wang denda tersebut dalam tempoh ditetapkan dan berkuatkuasa 1 Oktober 2018 sehingga 1 Februari 2019.

Bagaimanapun, Izuddin Refin, Muhammad Afiffudin Razali serta Muhammad Safaruddin Abu Bakar hanya digantung dua bulan setelah rayuan mereka diterima pihak ISTAF.

"Saya akan memulakan tugas minggu depan selepas tamat penggantungan. Jadi, saya akan kembali bertugas Isnin depan," kata Talib ketika ditemui minggu lalu.

Talib kini akan kembali mengendalikan program latihan dan akan memanggil 28 pemain yang rata-ratanya muka baru yang menyinar ketika Liga Sepak Takraw (STL) musim lalu untuk menghadapi Sukan SEA Manila 2019.

"Yang sudah itu, sudahlah. Sekarang, saya mahu fokus untuk cabaran seterusnya, iaitu Sukan SEA 2019 di Filipina, untuk mempertahankan pingat emas yang diraih dua tahun lalu."

Sementara itu, dua pemain kebangsaan yang paling terkesan dengan ketiadaan jurulatih itu sebelum ini adalah kapten pasukan, Farhan Adam, serta Norhafizi Abdul Razak, yang mengakui kehadiran semula Talib memberikan lonjakan semangat dalam seluruh pasukan negara.

"Kehadiran dia dalam skuad kebangsaan amat diperlukan kerana dia banyak mendorong kami. Dia juga telah lama mengendalikan pasukan ketika Sukan SEA serta Sukan Asia. Jadi, untuk mengekalkan dia merupakan satu tindakan yang bagus," ujar Norhafizi.

"Awal tahun ini tiada kejohanan, jadi ia peluang kami untuk memperkukuhkan fizikal. Kami perlu membina otot yang diperlukan sebelum melakukan persediaan Sukan SEA tahun ini."