Peninju sensasi, Manny Pacquiao, tidak bimbang rekod menakjubkan milik juara dunia, Lucas Matthysse, yang meraih 36 knockout daripada 39 kemenangan, sebaliknya menegaskan pengalaman akan membantunya apabila bertarung di dalam gelanggang.

Pacquiao bijak bermain psikologi dengan lawannya itu walaupun menyedari prestasi semasa jelas memihak Matthysse.

Menurut peninju kebanggaan Filipina itu, dia menghormati keupayaan Matthysse tetapi ada ramuan tersendiri apabila bertarung di dalam gelanggang.

"Latihan saya berjalan seperti biasa kerana suasana di Filipina dan juga Malaysia adalah sama.

"Kami tidak melakukan perubahan yang besar. Saya masih bersenam dan berlatih pada waktu petang. Saya hanya menjalani latihan ringan kerana masih ada beberapa hari lagi menjelang hari perlawanan," kata Pacquiao.

Sementara itu, Matthysse menjelaskan sebelum bergelar peninju profesional, dia tidak pernah terfikir akan berlawan dengan Pacquiao satu hari nanti.

Walaupun masih menghormati Pacquiao sebagai ikonnya, segala perasaan itu akan hilang sebaik tumbukan dilepaskan.

"Saya berada dalam keadaan yang cukup baik sekali, saya yakin dapat memberikan tentangan yang hebat, sekali gus mempertahankan tali pinggang kejuaraan," kata Matthysse.

Mereka berdua ditemui dalam sesi sidang media rasmi 'Fight of Champions' hari ini bagi pertarungan yang akan berlangsung Ahad ini.