Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, mempersoalkan tindakan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meluluskan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, untuk merebut jawatan presiden badan induk itu, 29 Jun ini.

Sebelum ini, beliau dijangka akan menang tanpa bertanding sebelum Khairy mendapat lampu hijau daripada MPM untuk mencabarnya berdasarkan tiket daripada Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWFR).

Namun, timbul keraguan apabila bekas menteri belia dan sukan itu menghantar borang pencalonan pada Ahad lalu sedangkan tarikh akhir yang tertera dalam borang permohonan ialah 14 Jun 2019 (Sabtu).

Selain itu, beliau turut meragui jawatan timbalan presiden yang disandang Khiry dalam MWFR dan menganggapnya sebagai melalui "pintu belakang" untuk menerajui MPM.

"Hak untuk bertanding itu hak semua orang, cuma setiap peraturan perlu dipatuhi dan kita perlu menunjukkan contoh yang baik kepada setiap orang.

"Persatuan-persatuan lain perlu tahu bahawa MPM yang merupakan organisasi yang besar juga harus akur dengan segala perlembagaan yang ditetapkan," katanya.

Megat Shahriman mahu mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk para itu dijalankan secara profesional dan telus selain meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) menangani sebarang isu dengan sebaik-baiknya.

"Jika MPM tidak dapat menyelesaikan masalah ini secara profesional, saya rasa pihak KBS atau PJS harus campur tangan.

"Merekalah yang menetapkan perlembagaan dan peraturan, jadi mereka adalah badan berkecuali," tambahnya.