Presiden baru Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S. M. Muthu, mengumumkan perancangannya untuk melantik semula Harun Rasheed sebagai ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Filipina, November depan.

Ia mengundang persoalan memandangkan bekas ketua jurulatih itu masih menjalani hukuman penggantungan ekoran kes doping.

Sama ada Muthu sedar atau tidak, Harun masih menjalani penggantungan selama 10 tahun ekoran pembabitannya dalam kes doping.

Hukuman itu akan tamat pada 2021, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perancangan itu boleh dilaksanakan atau tidak?

"Kami akan mengambil jurulatih baru dalam tempoh seminggu ini.

"Kami sudah mengenal pasti jurulatih berpengalaman dan akan berbincang dengannya untuk melatih atlet.

"Saya sudah mengenal pasti seorang jurulatih lama, iaitu Harun Rasheed.

"Dia pernah menjadi jurulatih dan memiliki pengalaman yang baik," katanya.

Ketika ini, jawatan ketua jurulatih skuad negara digalas Zainal Abas.

Muthu menewaskan Datuk Karim Ibrahim dengan keputusan undian 21-18 untuk merampas jawatan presiden KOM bagi penggal 2019-2022 dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu di Wisma MOM, hari ini.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Datuk S. M. Muthu kerana selama ini saya memang selalu dengannya," kata Harun.

"Dia meminta pertolongan saya agar kembali menjadi jurulatih.

"Insya-Allah saya akan membantunya dan membawa olahraga Malaysia ke tahap yang tinggi," katanya.