Datuk S. M. Muthu mencipta kejutan apabila menewaskan penyandang presiden, Datuk Karim Ibrahim, dengan perbezaan tiga undi untuk merampas kerusi tertinggi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu di Wisma MOM, hari ini.

Presiden baru itu meraih 21 undi untuk menamatkan penguasaan Karim sejak 2014.

Keputusan itu amat mengejutkan selepas calon timbalan presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang sebelum ini didakwa mewujudkan pakatan bersama Muthu, mengambil keputusan untuk menarik diri.

Ia bermakna Muthu kini memegang jawatan tertinggi itu selepas bertindak sebagai timbalan presiden sejak 2014.

Jawatan timbalan presiden menjadi milik Datuk Paduka Mumtaz Jaafar yang menang tanpa bertanding sementara empat muka baru, Datuk Wira Mark William Ling, Rajemah Sheikh Ahmad, Datuk Fadzil Abu Bakar dan Josephine Kang, membarisi jawatan naib presiden.

"Semua mahukan perubahan dalam KOM dan saya memang ada keyakinan untuk memenangi pemilihan ini.

"Walaupun dengan kelebihan yang sedikit, saya tetap berjaya," katanya.

"Perubahan ini berlaku pada malam tadi.

"Jadi, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa.

"Sejak awal-awal lagi, saya sudah katakan yang saya menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan dan saya rasa mereka sudah membuat keputusan terbaik," kata Karim pula.