Bekas pelari pecut negara, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar, mengetepikan masalah kesihatannya ekoran kanser usus untuk mencabar jawatan timbalan presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk olahraga itu hujung bulan ini.

Mumtaz disahkan mengalami kanser usus tahap ketiga sejak tahun lalu.

Namun, bekas pemenang pingat emas acara 100 meter Sukan SEA Manila 1981 itu mengatasi penyakitnya untuk berdepan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, bagi perebutan jawatan timbalan presiden KOM.

Sebagai rekod, beliau sebelum ini bertindak sebagai naib presiden KOM sejak 2009.

"Saya telahpun selelsai pembedahan dan masih berfikir secara positif yang saya boleh menyumbangkan sesuatu.

"Saya masih boleh bekerja dan memberikan sumbangan kepada sukan olahraga.

"Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru," katanya.

Sementara itu, ahli gabungan KOM diminta untuk memberikan sokongan terhadap bekas atlet kebangsaan untuk menerajui badan induk itu.

"Jika diberikan kerusi khas buat atlet untuk membantu, saya rasakan ia lebih praktikal," kata bekas atlet lompat kijang negara, Zaki Sadri.

"Jika melihat kepada calon-calon yang bertanding, kebanyakannya memang muka-muka lama.

"Sebab itu perlu ada muka-muka baru dalam KOM supaya ada perubahan yang dapat dilakukan," tambah bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Mohamad.