Misi sifar kes doping kontinjen negara ke Sukan Komanwel Gold Coast tidak kesampaian apabila seorang atlet kebangsaan gagal ujian air kencing dalam temasya itu.

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, hari ini.

Sudah pasti ia menjadi tamparan hebat buat kontinjen negara ke Sukan Komanwel yang turut gagal mencapai misi berada dalam kelompok 10 terbaik di bawah peruntukan Program Podium.

Lebih mengecewakan, atlet terbabit difahamkan adalah penyumbang pingat tetapi mujur bukan dalam kalangan tujuh pemenang pingat emas.

Spekulasi terarah kepada atlet daripada sukan berisiko tinggi diuji doping, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat oleh persatuan sukan yang terbabit dalam masa terdekat ini.

"Kami juga dimaklumkan baru-baru ini bahawa pengesahan sedang dilakukan pihak yang berkenaan tetapi semasa proses ini dijalankan, kami tidak boleh memberi sebarang komen lanjut.

"Saya dapat tahu bahawa atlet yang dilaporkan terlibat bukan dalam kalangan atlet yang meraih pingat emas.

"Kami agak kecewa kerana banyak usaha telah dilakukan untuk memberi kesedaran kepada semua pihak tetapi apabila sudah berlaku, kami harus mengurusnya, khususnya bagi pihak atlet yang terlibat," kata Beng Choo.

Dalam temasya Sukan SEA lalu, Ng Yan Yee daripada sukan terjun digantung lapan bulan dan pingat emasnya ditarik balik akibat positif sibutramine.

Sementara itu, atlet wushu, Tai Cheau Xuen, yang bertanding dalam Sukan Asia Incheon 2014 turut positif bahan terlarang yang sama dan digantung empat bulan selain emasnya juga ditarik balik.