Pemenang pingat emas di Olimpik Tokyo, Tamyra Mensah-Stock secara terbuka menyatakan minat dan hasrat untuk bergelar bintang gusti profesional WWE jika diberi peluang selepas ini.

Atlit berusia 28 tahun kelahiran Chicago, Illinois, Amerika Syarikat itu memenangi perlawanan akhir gusti gaya bebas kategori 68 kilogram pada 3 Ogos lepas di Olimpik Tokyo dengan menewaskan Blessing Oborududu dari Nigeria dengan pungutan mata 4 berbalas 1.

Ia sekaligus mencipta sejarah sebagai atlit kulit hitam pertama Amerika Syarikat yang berjaya memenangi pingat emas di temasya sukan terbesar dunia itu.

Dalam satu temubual bersama rangkaian televisyen Peacock pasca kemenangannya baru-baru ini, Tamyra telah ditanya tentang kebarangkalian dirinya menyertai syarikat gusti profesional terbesar dunia iaitu WWE. Pengacara Akbar Biamila turut menyatakan yang sebagai seseorang yang membesar dengan menonton WWE, Tamyra dilihat mempunyai bakat dan potensi yang lengkap untuk bergelar bintang di gelanggang sukan hiburan.

“Sudah tentu!,” balas Tamyra apabila ditanya.

“Vince McMahon, saya harap anda mendengarnya!” jawab Matt Iseman yang turut menjadi pengacara bersama dalam wawancara tersebut.

WWE telah berkongsi kenyataan Tamyra itu melalui akaun Twitter rasmi mereka dan turut membangkitkan potensi Tamyra untuk mengikut jejak langkah beberapa atlit yang pernah terlibat dalam program Olimpik dan kini bergelar bintang WWE seperti Chad Gable, Ronda Rousey dan Kurt Angle.

Untuk rekod, Kurt Angle yang memenangi pingat emas di temasya Olimpik di Atlanta pada tahun 1996 telah berjaya bergelar seorang bintang gusti yang amat disegani di WWE dengan beberapa kali dinobatkan sebagai juara dunia. Tidak dilupakan, Angle turut dinamakan sebagai antara bintang gusti teknikal terhebat pernah muncul dalam sejarah gusti profesional dan sehingga kini terus dianggap sebagai antara bintang gusti paling hebat yang pernah beraksi di WWE.

Tidak mustahil, kemilau bintang Tamyra Mensah-Stock pula akan menyinar di pentas gilang-gemilang WWE tidak lama lagi.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Summerslam pada 22 Ogos diikuti NXT Takerover 36 pada 23 Ogos depan serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.