Pelumba import Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama dalam Kejuaraan Lumba Basikal Kebangsaan Russia (ITT), Jumaat lalu.

Ovechkin, 31, mencatat masa 0:35:58 saat dalam acara individu, sekali gus meninggalkan dua rakan senegaranya, Pavel Sivakov (0:36:01 saat), di tempat kedua dan Anton Votobyev (0:36:18 saat) ketiga.

Kejayaan itu hadir selepas seorang lagi pelumba TSG, Maral-Erdene Batmunkh, juga mengesahkan status selaku pelumba nombor satu di negaranya setelah memenangi acara individu Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Mongolia dengan masa 0:30:36 saat.

Hasrat Metkel Eyob untuk menjejak langkah rakan-sepasukannya di TSG tidak kesampaian apabila menduduki kedudukan ketiga dalam Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Eritrea.

Perkembangan itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, yang menyifatkan TSG di landasan tepat untuk terus menjadi pasukan profesional digeruni.

Selain itu, katanya, lima pelumba TSG akan menyertai Kejuaraan Berbasikal Kebangsaan Singapura, Sabtu ini, antara langkah pasukan itu yang mahu memperbaiki ranking Asia dalam Siri Jelajah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Lebih manis lagi, Wan Sukairi berkata pelumba-pelumba TSG juga terpilih mewakili negara ke Sukan Asia di Palembang, Indonesia, bulan depan.

"Empat pelumba akan membawa cabaran Malaysia ke Sukan Asia. Dua daripada mereka dalam acara lebuh raya manakala dua lagi acara trek.

"Syabas TSG. Semoga terus mengharumkan nama Terengganu dan negara di persada dunia," ujarnya.