Juara berpasukan kategori Underbone 150cc, Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, menggunakan sistem penggiliran pelumba wildcard bersama dua pelumba Malaysia, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairuez, bagi mengharungi siri Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang memasuki pusingan kedua di Litar The Bend Motorsport Park, Australia, minggu ini.

Menurut prinsipal pasukan, Yong Ying Hoe, penggiliran pelumba dari Vietnam, Filipina dan Indonesia itu adalah sebagai inisiatif awal untuk merealisasikan matlamat utama mereka membentuk sebuah pasukan Asia yang berjaya pada 2019.

“Matlamat kami adalah untuk mempromosikan kepelbagaian dalam perlumbaan. Terdapat ramai pelumba muda di luar sana menantikan sumber dan peluang untuk membawa mereka ke peringkat serantau.

"Pada masa sama, kami berharap dapat membentuk sebuah pasukan yang terdiri daripada pelumba muda berbakat dari Malaysia, Vietnam dan Filipina dan sudah tentu dari Indonesia,” kata Yong.

“Idea ini masih di peringkat awal. Untuk tahun ini, pelumba-pelumba wildcard ini juga sebenarnya dalam proses pemilihan uuntuk mengisi tempat di dalam pasukan pada masa akan datang.”

Perlumbaan Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, pasukan Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team meletakkan pelumba Vietnam, Hyunh Minh Sang, sebagai pelumba wildcard dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, namun mengalami masalah mekanikal jentera dalam Perlumbaan 2.

Pelumba Filipina, McKinley Kyle Paz, menjadi taruhan pasukan di Australia minggu ini selepas persembahan memberangsangkan sewaktu ujian pra-musim yang lalu.