Pam Shriver berpendapat bahawa dua bintang tenis wanita, Caroline Wozniacki dan Simona Halep, boleh mengubati kekecewaan sebelum ini dengan memenangi gelaran Grand Slam pertama dalam Kejohanan Terbuka Australia.

Halep dan Wozniacki bakal memulakan kejohanan utama yang pertama bagi tahun 2018 pada minggu depan sebagai dua pilihan utama selepas berada di kedudukan nombor satu dan dua dunia.

Tatkala Serena Williams dilihat tidak bersedia untuk mempertahankan gelaran selepas baru sahaja melahirkan bayi pertama, Halep dan Wozniacki dilihat mampu merebut kejuaraan di Melbourne.

"Saya rasa masanya akan tiba buat Halep. Dia tidak pernah dapat melakukannya dengan baik dalam Terbuka Australia sejak beberapa tahun lalu tetapi saya dapat berasakannya kali ini," kata Shriver.

"Mungkin tekanannya tidak seperti Terbuka Perancis, Wimbledon atau Terbuka Amerika Syarikat. Halep adalah salah seorang peserta dan semua orang mengatakan undian buatnya bukan yang paling mudah tetapi saya tetap berpendapat jika dia beraksi dengan baik, peluangnya untuk muncul juara sama seperti Wozniacki.

"Kedua-dua mereka mengalami banyak kekecewaan dan pastinya ia sesuatu yang positif sekiranya salah seorang daripada mereka berjaya memenangi Grand Slam pertama," tambahnya.

Dalam masa sama, Shriver turut berpendapat Wozniacki wajar menerima pujian susulan kekuatannya untuk bangkit daripada masalah kecederaan.

"Kisahnya amat hebat. Dia telah tersingkir jauh dalam kedudukan tetapi telah memperbaikinya dengan amat bagus.

"Apabila pembedahannya berjaya, dia muncul sebagai salah seorang pemain dengan pukulan silang terbaik," tambahnya.