Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy, menyifatkan penglibatan barisan muda dalam Sukan SEA Filipina sebagai sesuatu yang perlu diutamakan sebagai pendedahan awal.

Buat masa ini, atlet berusia 26 tahun itu tidak pasti akan tersenarai mewakili negara ke Sukan SEA, namun dia tetap mahu peluang itu digalas barisan muda negara bagi memastikan skuad pelayaran kekal di landasan cemerlang.

Selepas muncul atlet Malaysia pertama mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, dia kini giat menjalani latihan di venue sebenar kejohanan berprestij itu.

Terbaru, siri ujian Olimpik di Tokyo menyaksikan atlet kelahiran Kedah itu menamatkan acara laser standard lelaki di kedudukan ke-31 dan menamatkan peringkat pertama pelayaran Piala Dunia di kedudukan ke-34.

"Untuk ke Filipina nanti, banyak atlet senior yang merupakan rakan saya. Ada juga muka baru. Bagi saya, tiada masalah untuk lakukan yang terbaik kerana banyak kategori didominasi oleh atlet Malaysia. Insya-Allah, sasaran yang ditetapkan persatuan boleh dicapai," katanya.

Sementara itu, Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) dalam perancangan mendapatkan latihan di venue Sukan SEA Filipina, Oktober depan sebagai persiapan beraksi dalam temasya dwitahunan itu, sebulan kemudian.

"Bagi saya, kunjungan kali ini tidak begitu baik kerana masih belum menemui rentak. Jangkaan angin juga tidak seperti diharapkan. Kami belum biasa dengan keadaan di situ," tambah Khairulnizam.

"Keputusan tidak memuaskan tetapi peningkatan ditunjukkan. Apa yang penting, segala maklumat untuk Sukan Olimpik tahun depan telah dimiliki."