Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, mahu anak buahnya memberi fokus terhadap acara kuartet sewaktu kem latihan pusat di Kajang sebelum bersedia menghadapi Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam, Sabtu depan.

Barisan atlet olahraga memulakan kem latihan pusat di Institiut Penilaian Negara (Inspen), Kajang bermula hari ini sehingga 4 Ogos.

Bagaimanapun, enam pelari pecut, iaitu Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisham Abdul Manap, Jonathan Nyepa, Muhammad Haikal Hanafi, Nixson Kennedy dan Muhammad Aqil Yasmin, hanya berada di sana untuk dua hari sebelum terbang ke Vietnam.

Menurut Poad, kejohanan di sana lebih mengutamakan acara 4x100m, dan 4x400m bagi menilai empat pelari yang akan dipilih untuk ke Sukan SEA selain turut ingin menguji Haikal sebagai pelari pertama.

"Pertama, dalam soal bagaimana mereka ingin menukar baton, kami akan lihat di situ. Kami minta ISN (Institut Sukan negara) hadir sekali untuk merakam lari ganti-ganti itu nanti.

"Di sana juga, kami akan cuba untuk menggunakan Haikal sebagai pelari pertama," kata Poad.

Sementara itu, Khairul Hafiz tidak menolak berasa lebih selesa untuk diletakkan sebagai pelari terakhir bagi melakukan penamat yang terpantas.

Dia sedar, selain acara 100m dan 200m, Malaysia turut meletakkan harapan kepada acara kuartet bagi meraih pingat emas dalam Sukan SEA, bulan depan.

"Bagi saya, (pelari terakhir) sama sahaja dengan pelari lain. Cuma saya perlu lebih laju berbanding pelari lain," katanya.