Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan sebagai satu penghormatan kepada anak muda, sekali gus bertekad mahu mengangkat sukan negara ke tahap lebih tinggi selepas ini.

"Saya rasa gembira dan saya rasa ini adalah kemenangan kepada semua belia di luar sana. Ia satu pengiktirafan kepada anak muda. Ini adalah permulaan untuk memperkasakan, memperjuangkan, mengangkat dan memartabatkan suara anak muda yang perlu dimulakan secepat mungkin.

"Saya mahu suara anak muda bergema di setiap lapisan pentadbiran negara kerana anak muda bukan sahaja pemimpin masa depan tetapi pemimpin hari ini," katanya.

Syed Saddiq menjadi pilihan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membarisi Kabinet Kerajaan Persekutuan bagi portfolio Menteri Belia dan Sukan bagi tempoh sehingga 2023.

Beliau adalah antara 13 menteri baru yang mengangkat sumpah di Istana Negara, pagi tadi.

Pelantikan Syed Saddiq pada usia 25 tahun menjadikan beliau sebagai menteri termuda yang pernah dilantik dalam sejarah Malaysia.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menyambut baik pelantikan Syed Saddiq dan berharap dapat menjalin hubungan baik dengan Menteri Belia dan Sukan berkenaan.

"Saya percaya dengan ketokohan beliau, pemimpin yang berwibawa dan ikon generasi muda akan mampu menyuntik satu semangat baru kepada pembangunan sukan negara," katanya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut mengalu-alukan pelantikan itu.

"Dalam sukan berprestasi tinggi ini, sudah tentu kami amat teruja dengan adanya menteri yang muda. Kami berharap pelantikan itu dapat merangsang motivasi dan semangat atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara," katanya.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Azim Zabidi, berkata: "Kami memikirkan ini satu pelantikan yang tepat oleh kerana usianya yang begitu muda.

"Sudah tentu dia mempunyai idea-idea baru yang boleh menyuntik semangat dalam sukan negara ini. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan beliau."

Syed Saddiq, yang akan mencecah usia 26 tahun pada 26 Disember ini, mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan ke-18 bagi menggantikan Khairy Jamaluddin.