Kapten baru skuad bola tampar negara, Cheoh Jia Ming, berharap Sim Jim Quan mampu pulih sepenuhnya sebelum Sukan SEA bulan depan bagi menggalas kembali tugas sebagai ketua pasukan.

Selepas Jim Quan mengalami kecederaan buku lali minggu lalu, Jia Ming -- yang hanya bersama skuad kebangsaan bulan lepas -- mengambil alih tugas itu, terutama dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA, bermula esok.

Bukan tidak percaya akan diri sendiri tetapi pemain yang sudah menyertai Sukan SEA sebanyak empat kali itu tetap mahu Jim Quan pulih kerana rakannya itu pastinya sudah bersedia sejak awal tahun lagi bersama pasukan.

"Saya harap dia boleh sembuh kerana kalau ketiadaannya, pasukan akan terjejas. Saya harap dia pulih sebelum Sukan SEA," kata Jia Ming.

Sekian lama tidak merasa kilauan pingat Sukan SEA selepas kali terakhir pada 2001, mungkin sudah tiba masanya untuk pasukan kendalian Tay Yeu Siong ini lebih serius dalam misi memburu pingat.

Meskipun ini adalah sebuah pasukan yang rata-rata dibarisi pemain muda, sasaran mereka masih realistik untuk sekurang-kurangnya mara ke final.

"Saya juga harap pemain junior lebih berkeyakinan ketika berlawan. Saya harap tiada masalah dan kami akan melakukan yang terbaik, berjuang untuk menang dan bersaing dengan Thailand dan Myanmar," tambahnya.