Skuad memanah para negara berdepan cabaran baru di Tokyo apabila hanya diperuntukkan 30 minit sahaja untuk menyesuaikan keadaan di venue kejohanan, Yumenoshima Park.

Namun ia tidak mematahkan semangat pemanah negara yang sudah bersiap sedia untuk hadapi saingan yang akan membuka tirai 27 Ogos ini.

Jurulatih memanah negara, Marzuki Zakaria, mengakui ia merupakan situasi yang berbeza berbanding di Rio lima tahun lalu.

Ini kerana kebiasaannya, setiap pemanah diberi masa satu sejam sehari untuk berlatih di venue kejohanan, bahkan ketika saingan Olimpik tempohari membabitkan Khairul Annuar Mohammad dan Nur Shafiqah Hashim di venue sama, mereka turut diberi tempoh sama.

Malaysia yang mempertaruhkan juara dunia 2019, S. Suresh dalam recurve dan Wiro Julin dalam acara compound tidak mempunyai pilihan selain perlu cepat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

"Latihan dijalankan seperti biasa cuma setiap negara diperuntukkan 30 minit untuk menyesuaikan diri di venue pertandingan," kata Marzuki.

Cuaca terik sehingga mencecah 39 darjah celcius turut juga turut memberikan kesan terhadap kesihatan pemain.

Mujur maklumat yang diperoleh daripada skuad memanah yang beraksi di Olimpik tempohari membantu untuk menghadapi segala cabaran yang terdapat di Tokyo kali ini.