Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, fokus memperbaiki kesilapannya dalam misi memperbaharui rekod dunia yang dilakukan-nya sendiri dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020, bermula 24 September depan.

Ziyad memecahkan rekod dunia sejauh 17.29 meter dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London -- setahun selepas merangkul pingat emas dalam Sukan Paralimpik Rio, lima tahun lalu.

"Saya nak pecahkan rekod dunia, gantikannya dengan nama Ziyad yang baru.

"Masa di Tokyo inilah saya akan luahkan segala perasaan, biar balik dengan kegembiraan," katanya di Nadi Arena.





Namun, pemegang rekod dunia itu gagal mengulangi pencapaian sama dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila meraih perak di belakang atlet Ukraine, Maksym Koval.

Atlet berusia 31 tahun itu mengambil kegagalan berkenaan sebagai pengajaran dan mahu menggandakan usaha dalam persiapan mencapai misinya dalam temasya kelak.

"Semuanya bergantung pada hari pertandingan, kadang-kadang bagus adakalanya tidak.

"Ia tidak boleh jangka akan buat kesilapan, kadang-kadang keadaan badan atlet akan jadi lain pula pada hari sebenar.

"Macam-macam boleh terjadi dalam kejohanan. Saya harap tidak ulangi benda (kesilapan) yang selalu silap.

"Jadi apabila ambil (berat) perkara ini, saya akan sentiasa di landasan tepat."