Perenang negara, Nur Syaiful Zukafli, mengubati kedukaannya dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam dengan mara ke final, hari ini.

Perenang berusia 26 tahun itu menempah slot ke final di Pusat Akuatik Tokyo, petang ini, apabila mengakhiri peringkat saringan 100 meter gaya bebas S5 di tempat ketiga dalam saringan pertama pagi tadi.

Dia mencatat 1:16.33 saat untuk muncul peserta ketujuh terbaik keseluruhan dan layak ke pusingan akhir, sekali gus akan berentap dalam kalangan lapan perenang terbaik selepas ini.

Semalam, penyertaannya dalam acara 200m dibatalkan gara-gara masalah teknikal berkaitan pita pelekat di bahunya.

Dalam masa sama, Chee Chaoming terpaksa akur tewas kali kedua di peringkat kelayakan, Kumpulan C, acara ping-pong T9 kepada pencabar dari Great Britain, Stacey Joshua.

Peserta atas tiket peluang khas itu mempamerkan tentangan sengit dalam set kedua dan ketiga tetapi ia masih belum memadai buatnya mengatasi lawannya di ranking ke-12 tersebut dengan agregat 0-3.




Namun, dia berdepan laluan lebih berliku dalam aksi terakhir peringkat kumpulan itu apabila lawannya yang juga bekas juara edisi 2012, Ma Lin, petang ini memiliki reputasi selaku pemain nombor tiga dunia.

Sementara itu, Nur Azlia Syafinaz Zais memperbaiki catatan peribadimya dengan menamatkan acara final kategori B berbasikal trek, 1km ujian masa, di kedudukan kesembilan daripada 10 pelumba.




Dalam kayuhan di Velodrom Izu itu, Nur Azlia dan jurumudinya, Nurul Suhada Zainal, merakam 1:15.005s bagi mengatasi rekod 1:15.177s.

Cabaran mereka belum berakhir apabila masih memiliki satu lagi acara iaitu lebuh raya, Selasa depan.

Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula memulakan salah satu daripada empat acaranya dengan merekodkan kayuhan 3:58.413s untuk memadamkan catatan terbaik sebelum ini, 4:02.959s, dalam 3000m individu lelaki C1.