Perenang para negara, Nur Syaiful Zulkafli, menamatkan final acara 100 meter gaya bebas S5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di tempat ketujuh sebentar tadi.

Memulakan perlumbaan di lorong pertama di Pusat Akuatik Tokyo, perenang kelahiran Sarawak itu merekodkan catatan masa 1:15.12s dan ketinggalan 5.56s di belakang pemenang pingat emas dari Itali, Francesco Bocciardo.

Pingat perak menjadi milik peserta China, Wang Lichao (1:10.45s) manakala pingat gangsa pula dimenangi wakil Brazil, Daniel de Faria Dias (1:10.80s).

Terdahulu, Nur Syaiful menamatkan pusingan saringan pertama di tempat ketiga pagi tadi, sekali gus melayakkan diri ke final dalam penampilan pertamanya.

Ia merupakan kebangkitan terbaik selepas penyertaannya dalam acara 200m dibatalkan gara-gara masalah teknikal berkaitan pita pelekat di bahunya.

Selepas ini, perenang negara itu akan meneruskan saingan dalam acara 100 meter kuak dada SB4 hujung minggu ini.

*Kredit foto: Sinar Harian