Skuad powerlifting negara kembali menjadi tumpuan selepas kejayaan Bonnie Bunyau Gustin meraih pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kini giliran Jong Yee Khie pula membuktikan kewibawaannya dalam acara 107kg di pentas tertinggi dunia itu esok.

Berbicara mengenai peluang, atlet kelahiran Sarawak berusia 33 tahun itu, jurulatih negara, Jamil Adam, berwaspada dengan persaingan sengit bagi kedudukan podium.

"Cabaran Jong Yee Khie agak berbeza sedikit.

"Saingannya memang agak ketat terutama kedudukan tiga tempat teratas. Atlet Mongolia merupakan pemegang rekod dunia bagi kategori ini.

"Kami juga tidak mahu mengambil mudah pesaing dari Iran berikutan kedudukannya tidak jauh daripada Yee Khie selain seorang lagi pencabar Mexico," katanya.

Sementara itu, Jamil mengambil pendekatan tunggu dan lihat khususnya melibatkan teknik angkatan lawan sambil membayangkan Yee Khie berupaya menghadiahkan kilauan medal tetapi dengan syarat, harus menyamai prestasi terbaiknya musim ini, 239kg.

"Dengan angkatan itu, dia mampu ke podium cuma tidak pasti warna pingatnya.

"Kami perlu melihat apakah strategi yang akan digunakan pihak lawan kelak," katanya.