Kurang sebulan menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020, atlet lompat jauh para negara, Jonathan Wong, diarah menukar kategori.

Jonathan yang biasanya bersaing dalam kategori T12 (masalah penglihatan) perlu beralih ke T13 selepas kembali dari Uzbekistan bagi memperbaharui 'lesen' paranya untuk mengesahkan kategorinya.

"Setiap dua tahun saya perlu buat klasifikasi (lesen para) dan ia sudah tamat tempoh sejak tahun lalu.

"Saya sepatutnya ke Beijing, China, untuk mendapatkannya selain menyertai kejohanan di sana tetapi ia kerap tertangguh sejak Mac lalu jadi saya mula kesuntukan masa untuk menghadapi sukan Paralimpik.

"Selepas beberapa ujian di Uzbekistan, doktor memutuskan saya dalam kategori T13 pula, mungkin ia dipengaruhi penilaian oleh doktor berlainan.

"Ini kerana dalam T12, papan pemula (untuk lonjakan) yang digunakan berukuran 1 meter tapi dalam kategori T13 pula, ia menggunakan yang atlet normal gunakan jadi peluang melakukan kesilapan lebih tinggi," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Dia yang menjalani latihan di Sabah sedang melakukan persiapan akhir di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, dengan memiliki catatan terbaik 7.22m yang dilakarnya di China pada 2019.

Jika sebelum ini menduduki tempat kedua di ranking kelayakan kategori T12, atlet kelahiran Kota Kinabalu berusia 30 tahun itu tidak mahu menekan butang panik apabila kekal optimis untuk membawa pulang pingat dari Jepun meskipun akan membuat penampilan pertamanya.

"Sudah tentu saya akan melakukan yang terbaik untuk memburu emas.

"Tapi apa yang penting saya tingkatkan prestasi, mendekati catatan terbaik peribadi.

"Saya lihat tiga pencabar utama mempunyai catatan sekitar 7.3om."