Atlet mewakili Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mendapat 'tonik berharga' selepas mendapat kata-kata semangat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang video bersama kontinjen Malaysia hari ini, Ismail Sabri menyatakan dirinya dan seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian semua atlet tersebut yang membawa nama negara ke Tokyo.

Beliau turut berharap agar Jalur Gemilang berkibar megah di Tokyo dan lagu Negaraku turut berkumandang di sana.



“Walau apa pun doa saya adalah untuk mereka pulang kepada kita Keluarga Malaysia dengan selamat.

“Tak kiralah apa sahaja keputusannya, saya mahu anda tahu bahawa anda semua adalah juara di hati kami.

“Ayuh Malaysia!” tulisnya dalam laman Facebook beliau sebentar tadi.

4,400 atlet dari 160 negara akan bertanding dalam 22 jenis sukan ditawarkan dalam Paralimpik kali ini yang bermula 24 Ogos dan berakhir 5 September.

Bagi Malaysia pula, seramai 22 atlet akan menyahut cabaran mengibar Jalur Gemilang dalam sembilan jenis sukan disertai kontinjen negara.