Pemandangan Gunung Fuji sepanjang menjalani latihan di Fuji International Speedway menjadi motivasi terbaik skuad berbasikal negara menjelang perlumbaan final ujian masa, Sukan Paralimpik Tokyo 2020 esok.

Menurut jurulatih negara, Salehuddin Noh, ia satu persekitaran berbeza sebab di Malaysia mereka berlatih di dalam dewan.

"Mereka akan bertanding esok cuma pada waktu berlainan.

"Hari ini kami nampak Gunung Fuji dengan jelas berikutan cuaca cerah.

"Mereka telah menyesuaikan diri di litar semalam dan hari ini.

"Kelihatan mereka sangat baik dan sangat teruja," katanya.

Dalam masa sama, walaupun diulit resah awal berikutan gangguan penafasan yang dialami pelumba negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, dalam sesi latihan pagi, Salehuddin menjelaskan tindakan susulan sudah pun diambil oleh kem Malaysia.

Dia akan berkayuh di samping jurumudinya, Nurul Suhada Zainal.

"Nur Azlia berasa agak mengah kerana laluan berbukit di sini.

"Tetapi pegawai perubatan negara sudah menjaganya dan Insya-Allah dia boleh berkayuh seperti biasa esok."


Acara berbasikal:

• Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin
Final ujian masa C1, 8.00 pagi -- 4.15 petang

• Nur Azlia Syafinaz -Nurul Suhada
Final ujian masa B, 8.00 pagi -- 5.15 petang