Sungguhpun ramai yang terkesan melihat kederasan pelari Amerika Syarikat (AS), Breanna Clark, yang jauh meninggalkan pesaingnya menuju ke garisan penamat, Siti Noor Iasah Mohammad Ariffin, tetap mampu menguntumkan senyuman apabila mara ke final 400m T20 wanita, Sukan Paralimpik Tokyo 2020, esok.

Noor Iasah menamatkan perlumbaan saringan 2, sebentar tadi, itu di tempat keempat dengan catatan terbaik peribadi musim ini -- jurang tiga saat berbanding pilihan utama, Clark, yang mencatat 56.07s.

Bagaimanapun, larian 59.89s yang dilakar itu membawanya ke aksi kemuncak di Stadium Olimpik Tokyo, esok.

Dia menempatkan diri di tangga ketujuh keseluruhan dengan lapan pencabar akan berentap dalam final.

Peserta Portugal, Carina Paim, menamatkan saringan itu di tempat kedua disusuli Norkelys Del Carmen (Venezuela).