Cabaran pemain ping pong negara, Chee Chaoming, dalam Kumpulan C, klasifikasi Kelas 9 Sukan Olimpik Tokyo 2020 berakhir selepas tewas 0-3 kepada pemain nombor tiga dunia dari Australia, Ma Lin, di Gimnasium Tokyo Metropolitan sebentar tadi.

Ternyata pemain negara dengan tiket peluang khas itu tidak dapat menandingi kejaguhan lawan untuk akur tewas 5-11, 6-11, 7-11 dalam masa 11 minit.

Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut Chaoming dalam saingan Kumpulan C selepas terlebih dahulu tewas 3-0 kepada pemain Itali, Mohamed Kalem, dan seterusnya kepada wakil Great Britain, Joshua Stacey, dengan keputusan sama.

Sudah pasti penampilan pertama di pentas Sukan Paralimpik ini akan menjadi pengalaman terbaik buat pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 24 tahun itu untuk menempa kejayaan pada masa akan datang.