Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, enggan terlalu selesa dengan status pilihan membawa pulang pingat emas Paralimpik Tokyo.

Bonnie kekal waspada ancaman lawan khususnya dari Iraq dan China serta menyedari pentas sukan terbesar dunia Paralimpik sesuatu yang berbeza.

"Saya mengetahui kemampuan mereka dan saya berwaspada dengan ancaman lawan bagi menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo ini," kata Bonnie.

Biarpun hadir ke Tokyo selau pemegang rekod dunia bagi kategori 72 kilogram ke atas, Bonnie berasakan segala pencapaian selama tidak berbaloi jika gagal mengawal tekanan di Tokyo.

"Saya enggan terlalu yakin dan meletakkan diri dalam keadaan selesa akan menjejaskan prestasi di sana nanti."

Sementara itu, ketua jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam, berkongsi keterujaannya melihat perkembangan Bonnie yang berada di kemuncak prestasi, sekaligus jadi calon pilihan membutirkan pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo.

Kempen 2021 tampak memihak Bonnie, selepas merangkul pingat emas Piala Dunia Para yang diadakan di Bangkok, Thailand.

Bonnie turut menampilkan prestasi luar biasa apabila memecah rekod dunia di satu lagi Kejohanan Piala Dunia di Fazza, Dubai.

Jamil yang mula membimbing Bonnie sejak di peringkat Sukma 2015, turut sentiasa mengingatkan anak buahnya untuk berwaspada terhadap dua atlet yang bakal mencabar buruan pingat emas di Tokyo.

"Persiapan berjalan lancar, setakat ini, Bonnie menampilkan prestasi yang terbaik daripada segi fizikal dan mental dia memberikan tumpuan untuk Paralimpik Tokyo," katanya.