Skuad kriket wanita negara terus kempunan untuk meraih kemenangan dalam saingan Piala Asia 2018 selepas empat perlawanan apabila tewas di tangan Pakistan di Kelab Diraja Selangor, semalam.

Pakistan terus mengungguli kedudukan teratas dengan enam mata secara keseluruhan setakat ini sambil bersaing sengit dengan Bangladesh di kedudukan kedua.

Kemenangan ke atas Sri Lanka, Rabu lalu, memberi semangat berterusan kepada Pakistan untuk terus konsisten mencatat kemenangan ke atas Malaysia pula.

Mereka mengatasi skuad negara dengan perbezaan 147 larian selepas menjatuhkan kesemua wiket dalam 20 over, setelah memulakan saingan sebagai pemukul dan membuat 177 larian berbanding Malaysia yang sekadar mencipta 30 larian.

Pasukan negara, yang berada di tangga tercorot ketika ini selepas tewas dalam empat perlawanan, kini hanya menanti aksi terakhir berdepan Bangladesh esok untuk sekurang-kurangnya mendapat kemenangan sagu hati.