Stadium Hoki Nasional Maulana Bhasani menjadi mimpi ngeri buat pakar pukulan sudut penalti negara yang diketuai Muhammad Razie Abd Rahim apabila hanya meledak enam daripada 20 gol ketika Malaysia menjuarai Kumpulan A, pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh.

Pakar pukulan sudut penalti negara dijangka berdepan masalah lagi untuk merobek pintu gol Sri Lanka dalam suku akhir, esok.

Ia susulan masalah menyesuaikan diri dengan keadaan padang biarpun Malaysia sudah tiba di Dhaka sejak seminggu lalu.

Masalah itu turut dialami pakar pukulan sudut penalti negara lain.

"Sejak tiba pada hari pertama, kami sudah berdepan masalah untuk melakukan pukulan flik di atas padang ini.

"Bagi saya, agak berat melakukan pukulan flik di sini sebab 'rumputnya' agak tebal dan apabila hari perlawanan, air (yang bertakung di atas astroturf) terlalu banyak.

"Mungkin itu antara penyebab kami sukar melakukan pukulan flik," ujar Razie.

Pemain pertahanan negara berkenaan setakat ini hanya meledak tiga gol.

Ia situasi janggal memandangkan Razie biasanya akan mendominasi senarai pendahulu senarai penjaring kejohanan.

Malaysia masih memiliki dua pakar pukulan sudut penalti dan mereka diletakkan dalam keadaan bersiap-sedia untuk melancarkan gerakan situasi bola mati ketika menentang Sri Lanka.

"Memang kami tertekan jugalah kerana kekuatan pasukan negara adalah menerusi pukulan sudut penalti.

"Jadi, kami perlu kaji balik dan cuba lagi," kata seorang lagi pertahanan negara, Najmi Farizal Jazlan.

Penyerang negara, Shahril Saabah, yang meledak empat gol ketika membenam Fiji 11-1 tempoh hari turut senada mengenai kepentingan situasi bola mati apabila mereka berdepan Sri Lanka nanti.

"Situasi bola mati sangat penting dalam perlawanan suku akhir sebab penjaga gol Sri Lanka gemar berada di posisi lebih tinggi.

"Saya berasakan banyak latihan situasi bola mati akan dibuat," katanya.

Kredit imej: FIH