Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) merancang untuk tidak membenarkan negeri atlet yang mencatat kes doping untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, September depan selepas tiga atlet remaja positif bahan terlarang jenis stanozolol.

Hanya kerana seorang atlet, seluruh negeri tidak dapat bertanding dalam SUKMA Perak apabila PABM bercadang menggunakan pendekatan itu selepas tiga atlet, masing-masing dua dari Kelantan dan seorang dari Sabah, dikesan positif sStanozolol menerusi ujian yang dilakukan pegawai Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Situasi itu bermakna sukan angkat berat mencatatkan empat kes setakat tahun ini selepas pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Fazrul Azri Mohdad, didapati positif bahan sama bulan lalu dan apa yang lebih mengecewakan, atlet-atlet itu berusia 18 hingga 21 tahun.

"Jika ia benar, kami sedia menggantung negeri yang terlibat, mungkin dalam tempoh dua tahun. Perkara itu tidak boleh ditanggung PABM sahaja, persatuan negeri juga harus bertanggungjawab.

"Daripada keputusan itu, cadangan yang lebih kukuh akan diwujudkan supaya jika berlaku sebarang isu, satu mesyuarat khas akan diadakan khusus untuk membincangkan isu tersebut," kata pemangku Setiausaha Kehormat PABM, Abu Hanapah Ismail.

"Kami tidak boleh memantau atlet selama 24 jam sehari, begitu juga jurulatih yang hanya boleh mengawasi sewaktu latihan. Penyelaras pula hanya boleh melihat semasa kejohanan tetapi untuk mengawasi sepanjang masa, kami tidak dapat melakukannya," kata Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim.

Sementara itu, jurulatih angkat berat negara, Wang Zhi Quan, gusar sekiranya sukan angkat berat Malaysia digantung oleh pihak IWF susulan empat kes doping yang berlaku setakat ini.

Ini kerana ia tidak adil untuk atlet lain yang tidak terlibat dengan doping tetapi turut terkena tempias sedangkan mereka telah bertungkus-lumus berlatih, khususnya dua atlet Program Podium, iaitu Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Aznil Bidin.

Aznil tidak menolak turut terkesan dengan apa yang berlaku terhadap tiga atlet muda berkenaan dan berharap peluang masih lagi ada untuk sukan itu agar tidak digantung oleh IWF.

"Saya takut ia memberi kesan kepada Malaysia dan suka mengendalikan skuad angkat berat negara," ujar Zhi Quan.

"Mereka masih muda dan saya masih bergelar atlet. Jika digantung, bagaimana untuk mendapatkan misi yang masih belum terlaksana?

"Saya harap tidak dikenakan hukuman begitu," tambah Aznil.