Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dijangka mengalami perubahan besar dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), 12 Mei ini, dengan badang negara, Azroy Hazalwafie Ahmad
Izhar, berharap badan induk itu meningkatkan program anti dopingnya.


PABM dijangka mengalami perubahan pucuk pimpinan selepas tarikh tutup pencalonan, Sabtu lalu.

Presiden, Datuk Ong Poh Eng hanya menerima satu pencalonan sementara pencabar, Datuk Ayub Rahmat, yang juga timbalan presiden, 11 pencalonan.

Situasi itu dilihat ada kaitan dengan pembabitan atlet angkat berat dengan kes doping sejak lima tahun lalu hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan atlet negara.

"Jika persatuan dapat memilih presiden baru, atlet-atlet perlu dinilai dengan lebih baik bagi memastikan gejala penggunaan bahan terlarang ini tidak akan membelenggu sukan angkat berat," kata Azroy.

Seorang atlet angkat berat yang meraih pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Muhamad Fazrul Azrie Mohdad, disahkan positif bahan terlarang jenis stanozolol.

Situasi itu menyebabkan angkat berat menjadi sasaran kritikan, termasuk desakan menggantung PABM.

"Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ia akan mengganggu karier kami jika kritikan terus diberikan kepada sukan angkat berat. Jadi kami berharap pihak atasan harus mempertimbangkan kebajikan kami sebagai atlet."