Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, mengesahkan pihaknya sedang berbincang untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi menghidupkan peluang atlet negara menyertai Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlangsung tahun depan.

Badan induk itu telah melantik peguam untuk meneliti beberapa perkara sebelum mengemukakan rayuan kepada CAS, antaranya kos rayuan dan peluang untuk menang.

PABM akan mengadakan mesyuarat khas, Selasa depan bagi menentukan adakah realistik untuk meneruskan rayuan kepada CAS.

"Kami enggan tergesa-gesa dalam membuat keputusan kerana terdapat masih lagi masa untuk diteliti dalam hal ini," kata Ayub ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

PABM digantung setahun oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) ekoran empat kes positif doping pada 2018.



Ini bermakna, atlet negara tidak dibenarkan menyertai kejohanan antarabangsa hingga April 2021 selain denda RM217,000.

Lebih malang, atlet negara dilarang menyertai Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan.