Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Abu Hanapiah Ismail memberikan kebenaran untuk Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) menguji atlet badan induk itu pada bila-bila masa termasuk ketika berada di rumah selepas dikejutkan dengan insiden menimpa skuad China.

PABM sedia memberikan kerjasama terhadap ADAMAS selepas tiga atlet angkat berat China dikesan positif doping.

Situasi itu bermakna, skuad angkat berat China boleh digantung selama setahun berdasarkan Peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Ia meningkatkan kebimbangan PABM menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"ADAMAS akan melakukan ujian pada bila-bila masa ke atas atlet, kami telah memberikan makluman kepada atlet ketika bertemu mereka dan berharap memastikan merujuk kepada pihak yang tertentu mengenai pemakanan yang diambil," jelas Abu Hanapiah.

Tahun lalu, tiga atlet angkat berat positif doping namun seorang daripadanya hanya bertaraf atlet peringkat negeri.

PABM sudah memberikan amaran jika masalah ini gagal diselesaikan, badan induk itu sedia digantung.

"Skuad angkat berat China telah digantung kerana isu doping, jadi kami berharap lebih berhati-hati dengan pengambilan makanan tambahan," ujar atlet angkat berat negara, Hazal Wafi Izhar.

"Kami perlu lebih mengambil langkah selamat berhubung dengan pihak Institut Sains Negara mengenai bahan-bahan terlarang ini dan berharap perkara ini tidak berulang kepada kami," kata atlet angkat berat negara, Loro Welkinson.