Gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, menyedari laluan berliku menanti mereka setelah diletakkan dalam kumpulan D bersama dua wakil, China dan Hong Kong yang sering menghantui mereka.

Justeru, pasangan Malaysia itu bakal memasang strategi baru dan segar untuk mengelak dipalit kekalahan untuk mengungguli peringkat kumpulan dalam Sukan Olimpik Tokyo nanti.

Liu Ying secara peribadi tidak menggemari kedudukan dirinya bersama Peng Soon dalam Kumpulan D yang dianggap kumpulan maut.

Pencabar yang bakal memberi tentangan sengit adalah Huang Dongping-Wang Yilü yang juga pilihan kedua kejohanan.

Daripada lapan kali pertemuan, tujuh memihak kepada wakil China itu.

Manakala badi yang terus jadi igauan Peng Soon-Liu Ying adalah Tang Chung Man-Tse Ying Suet, dengan kali terakhir Malaysia menang ke atas wakil Hong Kong itu adalah lima tahun lalu.

Justeru, bersama jurulatih, Chin Ee Hui, Peng Soon-Liu Ying, bakal mencongak strategi baru bagi mengelak diri mereka terus berputih mata.

"Mereka amat mengenali corak permainan kami jadi terbanyak beberapa pertukaran akan dilakukan ketika beraksi di Tokyo nanti," kata Liu Ying.

Tidak mendedahkan apa yang bakal dilakukan Liu Ying, ia penting setelah kem negara letak sandaran buat mereka berdasarkan reputasi yang dilakar ketika Rio 2016.

Namun Liu Ying enggan letakkan bebanan tinggi sambil menggunakan pendekatan satu demi satu perlawanan untuk mengelak menerima sebarang keputusan yang mengejutkan di Tokyo nanti.

"Saya tidak meletakkan sasaran tinggi namun masih lagi berharap untuk menampilkan permainan yang terbaik nanti," katanya lagi.