Dua tahun tanpa kejohanan kompetitif tidak menjadi masalah bagi Farah Ann Abdullah mengharungi proses persiapan untuk tampil kali pertama di pentas Sukan Olimpik Tokyo.

Dalam perbualannya bersama wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifli, apa yang lebih melegakan Farah -- acara palang sejajar yang menjadi acara pembuka tirai 25 Julai ini mampu membantu atlet berusia 27 tahun itu melawan perasaan gugup.

"Saya berasakan persiapan saya menjelang Sukan Olimpik Tokyo berjalan dalam keadaan yang baik. Saya akan menjalani simulasi dalam beberapa hari lagi itu perkara yang dapat digunakan sebagai pengganti kejohanan. Saya berasakan ia cukup untuk meningkatkan keyakinan beraksi dalam Sukan Olimpik nanti," katanya.

"Beraksi bermula acara palang sejajar sangat baik. Ia akan meningkatkan semangat untuk beraksi bagi baki acara yang lain sepanjang Sukan Olimpik nanti."

Sementara itu, ketua jurulatih gimnastik artistik negara, Ng Shu Wai, menjelaskan aparatus palang sejajar yang bakal menjadi acara pembuka tirai 25 Julai di Tokyo, akan memberi kelebihan buat Farah.

Ia susulan, gimnas berusia 27 tahun itu mempunyai kekuatan dalam acara tersebut, sekaligus dapat membantu meningkatkan tahap keyakinan diri dalam acara seterusnya.

Shu Wai mengakui cabaran buat dirinya dan Farah yang kali terakhir menyertai saingan kompetitif dalam Sukan SEA Filipina 2019, untuk bersedia daripada segi mental dan fizikal.

Ketika ini, ratu gimnastik negara itu sudah berada dalam keadaan bersedia cuma apa yang mahu difokuskan Shu Wai adalah perasaan gementar dihadapi Farah.