Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, berjaya memadamkan rekod kejohanan milik Lee Newman dari Wales selepas membuat balingan sejauh 57.59 meter untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, hari ini.

"Hujan dan gelanggang basah menjadi punca permulaan balingan saya sangat buruk.

"Saya mula beroleh keyakinan sebaik sahaja keadaan gelanggang mulai kering yang membantu saya membuat balingan sejauh 57.59m.

"Secara tidak langsung, saya berjaya memecah rekod Terbuka Singapura," katanya.

Malah, Irfan turut berusaha mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri, 58.33m.

"Sebenarnya, saya tidak meletakkan jangkaan tinggi dalam kejohanan ini.

"Ini kerana saya bakal ke Eropah (menyertai program latihan dan kejohanan) pada minggu depan dan di sana nanti, barulah saya menyasarkan untuk memecah rekod kebangsaan.

"Terbuka Singapura adalah gelanggang untuk saya memanaskan badan sebelum saya ke Eropah."