Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, terkejut apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan buat kali ke-15 sepanjang kariernya dengan melakukan catatan 67.37 meter ketika meraih pingat perak dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan.

Jaguh kelahiran Sarikei, Sarawak, itu menghampiri misi untuk muncul sebagai atlet pertama negara melepasi jarak 70m.

Pemenang emas Sukan SEA 2017 itu melakukan 67.37m, kebangkitan lebih 30sm berbanding ketika meraih tangga kelapan dalam Kejohanan Asia di Doha, Qatar, April lalu.

"Saya tidak menyasarkan untuk mengatasi rekod kebangsaan di Korea sebab selepas kembali dari Doha, prestasi saya agak merudum.

"Saya mengambil sikap tenang demi fokus kepada teknik balingan.

"Ia rekod baru ke-15 buat saya dan saya amat berbangga dengan pencapaian ini.

"Saya akan kembali berlatih di Beijing, China, bermula Sabtu ini selama 50 hari," jelasnya.

Bagaimanapun, rekod kebangsaan itu masih jauh daripada had kelayakan Kejohanan Dunia, 76m, manakala had kelayakan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pula lebih sukar, iaitu 77.50m.