Jaguh pecut negara, Mohd Haiqal Hanafi, terpaksa membatalkan penyertaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan, bermula Sabtu ini selepas dikesan positif COVID-19.

Lebih malang, rakan sepelatihnya, Khairul Hafiz Jantan, selaku pemegang rekod kebangsaan juga terpaksa menarik diri apabila diletakkan sebagai kontak rapat.

Kedua-duanya tidak dibenarkan berangkat ke Kazakhstan ketika proses pendaftaran masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Insiden itu disahkan ketua jurulatih negara, Mohd Mansahar Abd Jalil, dalam laporan wakil Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.

"Saya terima makluman mereka terkandas di lapangan terbang.

"Kami sedang menunggu keputusan sebenar sebab saya masih ragu-ragu.

"Mereka sudah mengambil langkah yang diperlukan seperti ujian calitan untuk bertanding di luar negara.

"Jadi kami tidak dapat menilai prestasi sebenar Haiqal tetapi bukanlah kecewa, cuma perkara ini tidak dijangka.

"Khairul Hafiz juga nampaknya terpaksa dikuarantin dengan Haiqal," katanya.

Mujur baki sembilan lagi atlet negara dibenarkan meneruskan perjalanan termasuk pelari 110m berpagar negara, Rayzamshah Wan Sofian, yang memburu catatan masa terbaik di bawah 14 saat musim ini.

"Saya ingin menguji tahap keyakinan sendiri kerana sudah lama tidak bertanding di peringkat antarabangsa sebagai persiapan Sukan SEA 2021.

"Sasaran saya ialah catatan 13.9s. Misi ke Sukan Olimpik memang mustahil sebab tidak banyak kejohanan dilangsung sejak tahun lalu.

"Tapi saya mahu rampas semula pingat emas yang saya terlepas di Filipina."