Atlet lompat jauh para Singapura, Suhairi Suhani, menghormati jaguh negara, Abdul Latif Romly, selaku juara dunia sebagai pesaing paling digeruni di pentas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur.

Suhairi menyedari prestasi luar biasa yang dimiliki Latif, apatah lagi selepas bergelar juara dunia dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London, Julai lalu.

Dia turut menganggap Latif sebagai atlet yang perlu dicontohi selepas menyaksikan sendiri aksinya di London. Ketika itu, Suhairi sekadar berpuas hati di tempat ketujuh.

Menyifatkan Latif sebagai pencabar utama, atlet berusia 20 tahun ini teruja untuk mereka kembali bersaing dalam temasya dwitahunan ini meskipun telah beberapa kali bertemu sebelum ini.

"Dalam setiap kejohanan utama, saya sentiasa dapat bersaing dengan Latif. Ia memberikan satu pengalaman yang baru. Dia merupakan seorang atlet yang berkualiti," katanya.

Suhairi yang merangkul perak pada edisi ini mengakui sukar untuk merampas kejuaraan daripada jaguh lompat jauh Malaysia itu dan hanya menetapkan sasaran sendiri untuk memperbaharui catatan peribadinya, iaitu melebih 6.73 meter.

"Dalam latihan, saya dapat melakukan catatan lebih daripada tujuh meter, itu merupakan sasaran saya kali ini dalam kejohanan terakhir saya bagi tahun ini."

Acara olahraga Sukan Para ASEAN akan berlangsung dari 18 hingga 22 September dan berpotensi menjadi lubuk emas buat negara.